Tajuk : Tips Penjagaan Mata Selepas Pembedahan Katarak
Link : Tips Penjagaan Mata Selepas Pembedahan Katarak
Katarak adalah kekaburan di dalam kanta mata yang mungkin disebabkan oleh penuaan, kecederaan, radang mata, kencing manis atau pengambilan ubat. Kali ini saya akan kongsikan tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak.
Tips Penjagaan Mata Selepas Pembedahan Katarak - Sumber gambar healthowealth.com |
Perkongsian ini berdasarkan pengalaman ibu saya sendiri. Menurut ibu saya, pembedahan kurang dari sejam dan tidak menyakitkan. Namun perlu mengikut tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak yang disarankan oleh pihak hospital.
Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai petua memilih makanan untuk kesihatan mata. Beberapa tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak yang perlu diikuti adalah seperti berikut:
1. Tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak – Selepas pembedahan
- Elakkan menggosok mata anda walaupun ianya terasa sangat gatal.
- Gunakan titisan mata antibiotik dan ambil ubat melegakan kesakitan seperti yang disarankan oleh doktor pakar mata.
- Pakai pelindung mata ketika tidur pada minggu pertama hingga ketiga selepas pembedahan bagi mengelakkan anda menggaru mata ketika tidur.
- Elakkan sabun, syampu dan air memasuki mata anda ketika mencuci muka dan rambut pada minggu pertama.
- Elakkan mendukung kanak-kanak kerana mungkin mereka tidak sengaja akan mencucuk mata anda dengan jari.
- Jika berada di kawasan cahaya terang, pakailah cermin mata hitam.
2. Tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak – Melakukan kerja
- Jangan melakukan aktiviti fizikal berat seperti berlari atau berenang. Berhati-hati melakukan aktiviti ringan seperti berjalan atau menaiki tangga rendah.
- Jangan membongkok, mengangkat atau membawa objek berat. Ianya akan menyebabkan tekanan ke atas mata anda.
- Jangan menundukkan badan anda ketika memakai kasut atau mengutip sesuatu di atas lantai. Tegakkan badan atau minta bantuan orang lain.
- Elakkan memandu kenderaan untuk sekurang-kurangnya 6 minggu selepas pembedahan mata.
3. Tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak – Jaga pemakanan
- Makan seperti biasa, namun perlu lebihkan sayur-sayuran dan makanan berserat bagi mengelakkan sembelit (sembelit menyebabkan tekanan kepada mata semasa membuang air besar).
- Jika mengalami alahan terhadap makanan seperti udang dan sotong, gantikan dengan sumber protein yang lain seperti ikan dan tempe (ibu saya mengalami alahan ini).
4. Tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak – Jaga kebersihan
- Pastikan tangan anda bersih dengan mencucinya dengan sabun sebelum menggunakan ubat titisan mata.
- Ikuti arahan yang ditetapkan oleh doktor pakar mata anda ketika menggunakan ubat titisan mata bagi mencegah jangkitan kuman. Elakkan menyentuh hujung botol titisan dengan jari anda.
- Cara memakai ubat titisan mata seperti yang disarankan oleh doktor pakar mata: dongakkan kepala ke belakang dan tarik kelopak mata ke bawah. Picit satu titisan (pastikan hujung botol tidak terkena mata). Tutup mata anda selama beberapa saat. Tunggu lima minit sebelum memakai titisan kedua.
5. Tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak – Rawatan susulan
- Patuhi temujanji untuk rawatan susulan dengan doktor pakar mata anda.
- Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti keluar sesuatu dari mata, mata sakit dan kemerahan, penglihatan kabur atau mata bengkak, segeralah berjumpa doktor pakar mata.
Oleh itu, diharap perkongsian tips penjagaan mata selepas pembedahan katarak ini memberi manfaat kepada anda. Kini mata ibu saya telah pulih sepenuhnya dan doktor menyarankan supaya ibu memakai cermin mata biasa.